Vape : Baik dan Buruk

Dr Norsiah Ali.

Presiden Persatuan Pakar-Pakar Perubatan Keluarga Malaysia (FMSA)

Ahli Majlis Persatuan Perubatan Ketagihan Malaysia (AMAM)

 

Semenjak akhir-akhir ini pelbagai reaksi ditunjukkan tentang tren penggunaan vape di negara ini. Amat merisaukan apabila menerima what apps gambar kanak-kanak, remaja dan wanita yang sedang menggunakan vape. Mereka kelihatan begitu seronok mengikuti tren terkini dan berkongsi rasa bangga mereka di media sosial tanpa menyedari implikasinya.

Vape mula dipelopori di Negara China semenjak  tahun 2003. Tujuan asal orang yang mencipta vape adalah untuk menggunakan kaedah merokok yang jauh lebih selamat dari rokok biasa. Rokok biasa memang telah diketahui mengandungi sekitar 4000 bahan kimia beracun yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit berbanding vape yang disifatkan oleh penggunanya sebagai jauh lebih selamat. Cecair vape juga pada asalnya didakwa selamat dan bebas dari nikotin. Namun, dewasa ini terdapat cecair vape yang mengandungi bahan dadah nikotin tulin. Isi kandungan sebenar setiap botol cecair vape juga diragui kerana tiada label kandungan bahan yang mengikuti piawai apatah lagi wujud keraguan tentang pencampuran bahan-bahan yang tidak diketahui apabila tiada peraturan pengilangan yang sewajarnya.

Penggunaan vape di Malaysia mula dirasai semenjak beberapa tahun kebelakangan ini. Baru-baru ini wujud pelbagai reaksi apabila kerajaan mengambil keputusan untuk tidak mengharamkan penggunaan vape. Persoalannya, adakah vape beul-betul selamat kepada penggunanya dan alam sekitar termasuklah orang-orang yang tidak menggunakan vape. Setakat yang diketahui cecair vape mengandungi perisa tertentu yang turut boleh menarik perhatian kanak-kanak, nikotin dan beberapa bahan seperti prophylene glycol yang apabila dibakar bertukar menjadi formaldehyde, sejenis bahan kimia penyebab kanser. Begitu juga dengan bahan-bahan logam dari kaedah pembakaran alat vape yang turut boleh mendatangkan kesat mudarat. Ada juga kejadian letupan dan kebakaran kecil kerana alat ini. Turut merisaukan apabila alat vape ini turut boleh digunakan untuk mengambil bahan dadah terlarang seperti heroin dan syabu.

Isu kebergantungan kepada dadah nikotin dalam rokoklah yang menjadi punca utama berlakunya perbezaan pendapat mengenai penggunaan vape di negara ini disamping pengaruh pihak yang berkepentingan dalam industri ini. Isu rokok  telah lama wujud semenjak sebelum negara merdeka lagi. Isu menghisap rokok dipandang remeh oleh sesetengah pihak malah ada yang berasa marah dan menafikan rasa kebergantungan terhadap dadah nikotin. Ada juga yang memperlekehkan dan mempersendakan usaha-usaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya rokok.

Fenomena ini mungkin berlaku kerana perokok tidak mampu untuk berhenti kerana kebergantungan yang kuat. Merokok pada suatu ketika dahulu tidak dianggap sesuatu yang salah disisi agama & kesihatan malahan mudah didapati. Ada juga segelintir yang kelihatan tidak terjejas kesihatannya walaupun merokok. Di samping itu, kesan buruk merokok tidak begitu ketara di peringkat awal penggunaannya. Namun, reaksi menidakkan fakta (denial) dan memberi pelbagai alasan sebenarnya adalah salah satu sifat utama orang yang mengalami kebergantungan dadah nikotin. Kebergantungan kepada bahan-bahan dadah adalah sejenis penyakit yang memberi pengaruh yang mendalam kepada sistem saraf pusat otak manusia. Bahagian otak yang mendapat kesan utama bahan-bahan ini adalah sistem mesolimbik yang melibatkan pusat seronok ( reward center) seperti rajah 1.

Rajah 1: Ilustrasi keratan rentas system mesolimbik otak manusia dirangsang oleh bahan-bahan yang mendatangkan ketagihan.

vape1

Bahan-bahan seperti nikotin, alcohol, heroin dan amphetamine merangsang pengeluaran beberapa jenis hormon terutamanya hormone dopamine. Hormon dopamine mendatangkan rasa keselesaan dan kesejahteraan di dalam badan manusia. Namun apabila paras hormon ini dirangsang penghasilannya oleh bahan bahan lain, kesan keselesaan dirasai sangat kuat dan mengujakan (‘high’). Sel saraf otak mengenalpasti fenomena ini dan mempunyai memori yang sangat kuat terhadap kesan seronok dan selesa yang dirasai akibat pengambilan bahan bahan ini (Positif reinforcing effect). Apabila paras bahan bahan ini menjadi separuh dari paras yang mendatangkan kesan keterujaan dan keselesaan, pengguna yang telah bergantung akan merasai yang sebaliknya iaitu sangat tidak selesa, kusut fikiran, sakit kepada, sukar member penumpuan dan mudah rasa marah. Fenomena ini dipanggil sebagai sindrom tarikan atau gian (withdrawal syndrome).

Pendedahan kepada bahan-bahan yang mendatangkan kesan teruja dan keseronokan terutamanya sewaktu zaman remaja mendatangkan yang begitu besar. Ini kerana otak remaja mengalami fasa kritikal yang dipanggil proses pencantasan ( pruning process). Melalui fenomena ini, pengaruh kepada sel otak yang sedang berkembang yang biasa diterima semasa remaja adalah amat kuat dan mendatangkan kesan yang berpanjangan sehingga dewasa. Bilangan tapak penerima tindakan hormone (receptor) pada sel otak orang yang menggunakan bahan-bahan ini  menjadi lebih banyak berbanding dengan orang yang tidak terjebak dengan nikotin, alcohol dan bahan-bahan dadah yang lain. Tanpa pengambilan bahan-bahan ini secukupnya, wujud kekosongan pada tapak penerima tindakan hormone yang mendatangkan rasa keinginan yang amat sangat (strong craving).

Pengalaman melalui rasa ketidakselesaan yang bukan calang-calang atau gian ( withdrawal syndrome) dan keinginan yang amat sangat (strong craving) menyebabkan pengguna tetap mengambil bahan bahan tersebut walau mengetahui bahaya dan gejalanya malah meningkatkan dos penggunaan bagi mendapatkan kesan yang sama kerana fenomena lali (toleran). Akibatnya sebahagian besar kehidupan dihabiskan dengan aktiviti berkaitan mendapatkan bahan tersebut, mengambil / menikmatinya dan pengambilan yang berterusan bagi mengelakkan fenomena gian. Pada tahap ini, pengguna telah mengalami fenomena ketagihan terhadap bahan yang digunakan.

Penyakit ketagihan kepada bahan seperti nikotin amatlah menyiksakan. Pengguna akan berulang-ulang terganggu kerana keinginan yang amat dalam untuk merokok semula bagi memenuhi tapak-tapak penerima tindakan hormone di otak (receptor). Akibatnya pengguna yang telah bergantung akan memberikan pelbagai alasan serta penjelasan bagi menidakkan keadaan sebenar mereka. Kebergantungan adalah sejenis penyakit yang perlu dirawat menggunakan pendekatan pelbagai sudut seperti ubatan, psikologi, sosial dan kerohanian (biopsychosocial & spiritual). Mereka memerlukan sokong bantu yang berpanjangan kerana penyakit ketagihan menghantui hidup mereka di sepanjang hayat. Risiko untuk jatuh semula kepada mengulangi tabiat lama amatlah tinggi malah merupakan salah satu sifat penyakit kebergantungan ini. Dalam konteks nikotin, 80% pesakit ketagihan nikotin merokok semula dalam temboh sebulan setelah berhenti seketika. Ini adalah fenomena biasa dalam masalah ketagihan bahan dan tidak harus dijadikan sebab untuk tidak mencuba semula untuk berhenti sekali lagi.  Ada di kalangan pesakit yang telah bergantung hanya akhirnya berjaya berhenti setelah beberapa kali mencuba.

Definasi berjaya berhenti dari rokok adalah bebas dari pengambilan nikotin selama sekurang-kurangnya 6 bulan.  Bertukar kaedah pengambilan nikotin dari merokok kepada menggunakan vape bagi mengatasi fenomena gian bukanlah telah berjaya berhenti merokok sepenuhnya.

Berbalik kepada persoalan wajarkah vape berada di pasaran? Fenomena yang amat menakutkan adalah kebarangkalian penggunaan dadah terlarang yang berleluasa tanpa mudah dikesan oleh perundangan di samping meningkatnya bilangan yang akan mengalami penyakit ketagihan nikotin terutama kanak-kanak ,remaja dan wanita.

Walaupun vape dijadikan kaedah alternatif untuk menghentikan penggunaan rokok biasa, terdapat pendekatan lain yang jauh lebih selamat. Setakat ini tiada bukti saintifik yang vape boleh menbantu perokok berhenti merokok (Christopher Bullen, The Lancet 2013). Promosi kaedah selamat untuk merhenti merokok perlu ditingkatkan dan menggunakan pendekatan yang boleh menarik perhatian pesakit yang telah bergantung. Kaedah tanpa rawatan ubat sahaja tidak terpakai untuk semua pesakit. Pusat-pusat rawatan perkhidmatan berhenti merokok perlu dipertingkatkan dari segi bilangan dan kemudahan yang diberikan. Ini kerana sebenarnya rata-rata perokok ingin berhenti dari penyakit ketagihan ini.

Pesakit yang mengalami kebergantungan nikotin tidak harus berasa tersiksa untuk berhenti merokok. Pesakit sebolehnya melalui rawatan pemulihan dalam keadaan mental dan fisikal yang selesa, tidak terganggu serta mampu berfikiran positif bagi mencapai matlamat untuk hidup lebih sihat.

Vape sebagai alternatif kepada rokok juga tidak terkecuali dari mempunyai kesan bahaya yang tersendiri (Charlotta Pisinger, Preventive Medicine 2014). Fungsi vape sebagai kaedah untuk berhenti merokok juga adalah tidak selamat kerana terdapat kaedah lain yang ada dan lebih terjamin keberkesanannya .

Malaysia telah dikenalpasti sebagai pengeluar vape ke dua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat yang sekarang merekodkan peningkatan penemuan pengambilan dadah terlarang menggunakan vape. Suatu ketika dahulu, kilang pemprosesan dadah syabu yang terbesar di dunia juga ditemui di Kulim, Kedah. Hasrat negara untuk bebas dari ancaman dadah pada tahun 2015 juga tidak kesampaian. Kesan baik vape masih diragukan manakala serta kesan sosial dan kesan kesihatan yang nyata akibat dari tren baru ini amatlah ketara. Justeru, adalah diharapkan status penggunaan vape di negara ini perlu dikaji semula.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *