Menangani Gejala Penyalahgunaan Dadah Di Malaysia : Permasalahan Dan Halatuju Pelan Perawatan.

Bulan antidadah kebangsaan telah diraikan pada bulan Februari tahun ini. Sejenak dengan sambutan ini, mungkin kita perlu merenung sejenak sejauh manakah kita telah menapak kehadapan dalam usaha membasmi penyalahgunaan dadah dinegara kita. Selaras dengan perubahan masa dan pemodenan, bentuk dan corak penyalahgunaan dadah juga berbeza dan memerlukan pendekatan dan pelan perawatan  yang berbeza. Apa yang pasti, isu ini didapati semakin meruncing dengan penularan masalah ini dikalangan remaja dibangku sekolah. Sejak kebelakangan ini, isu dadah hangat diperbincangkan dan mendapat perhatian  dari pelbagai reaksi masyarakat. Hukuman mati yang diberikan kepada seorang anak muda pada September tahun lepas yang menjual minyak kanabis untuk tujuan perubatan menimbulkan spekulasi dan emosi pihak tertentu tentang kewarasan atau keperluan bentuk hukuman tersebut kepada pesalah dadah.

Masyarakat sering menyifatkan masalah penyalahgunaan dadah sebagai isu moral semata-mata. Ini sama sekali tidak benar kerana bukti kajian saintifik sejak beberapa dekad jelas menunjukkan masalah ini juga merupakan isu kesihatan kronik yang memerlukan perawatan yang sewajarnya. Perlabelan pesalah dadah sebagai ‘sampah masyarakat’  tidak membantu, malahan menyekat proses pemulihan disebabkan oleh faktor stigma yang tinggi membunuh semangat pesakit untuk pulih. Konsep ‘pencegahan lebih baik dari mengubat’ perlu dititikberatkan dan masyarakat perlu faham bahawa terdapat faktor-faktor yang boleh mendorong seseorang itu untuk jatuh ke kancah penyalahgunaan dan kebergantungan terhadap dadah. Sungguhpun demikian, masyarakat tidak seharusnya dipersalahkan serratus peratus diatas sikap ‘negatif’ terhadap pesalah-pesalah dadah. Ramai yang berasa trauma melihat akibat penyalahgunaan dadah ini sehingga mencetuskan persepsi sedemikian. Dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab agensi-agensi professional untuk memberikan pengetahuan secukupnya kepada masyarakat tentang peranan mereka dalam menangani isu global ini.

Konsep perawatan dan pelan pemulihan dadah mememerlukan kerjasama yang erat dari semua pihak. Sungguhpun terdapat pelbagai cara perawatan yang dipraktikkan,  seharusnya konsep perawatan yang dijalankan ini perlulah berlandaskan dari bukti kajian-kajian terdahulu tentang keberkesanannya. Sudah tiba masanya satu halatuju dan pemahaman yang selari diantara agensi-agensi yang terlibat memberikan fokus kepada objektif-objektif yang sama untuk memastikan keberkesanan pelan perawatan dan pemulihan. Pelan perawatan yang diberikan seharusnya bersifat lebih komprehensif dengan mengambilkira seluruh aspek kehidupan pesakit termasuklah penerapan semula pesakit yang telah pulih ke dalam masyarakat dan isu-isu kekeluargaan yang seringkali terabai dan dianggap remeh oleh sesetengah perawat.

AMAM meyokong pendekatan berasaskan pengurangan kemudaratan (harm reduction) yang telah lama dipraktikkan dinegara ini yang merangkumi penggunaan terapi gantian seperti Methadone dan Buprenorphine serta pendekatan terapi selain ubat-ubatan seperti terapi individu dan penerapan semula pesakit dalam komuniti.   Konsep pembasmian dadah yang merujuk kepada hukuman semata-mata terbukti tidak mendatangkan hasil yang diharapkan, malahan mendatangkan beban yang tinggi kepada negara dari sudut kewangan. Masalah perlambakan pesalah penggunaan dadah yang menerima hukuman di penjara tanpa menerima rawatan yang sewajarnya untuk pemulihan dari kebergantungan terhadap dadah mencetuskan masalah “revolving door” apabila mereka dipenjarakan semula atas kesalahan yang sama setelah tamat tempoh hukuman. Justeru itu AMAM menyambut baik cadangan Menteri Undang-undang Liew Vui Kong supaya undang-undang pesalah dadah dikaji semula dan tidak berfokuskan hukuman semata-mata. Masalah pengedaran dadah perlu ditangani dengan cara yang berbeza dari masalah penggunaan dadah. Penggubalan undang-undang yang baru ini semestinya perlu mengambilkira pelan perawatan pesalah dadah bagi membantu proses pemulihan mereka.  Perbincangan yang menyeluruh dan kesepakatan diantara semua agensi yang terlibat dalam pengurusan individu dengan masalah penyalahgunaan dadah merupakan kunci utama untuk membantu pemulihan mereka.

 Profesor Madya Dr Suzaily Wahab
Pakar Perunding Psikiatri PPUKM
Ahli Jawatankuasa AMAM